hamba's FotoPage

By: hamba Allah

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[Archive]
Saturday, 27-Jan-2007 15:07 Email | Share | | Bookmark
Kecelaan Kemegahan dan Riya’

 
Imam Ghazali Rahimallahu Ta’ala di dalam Mukhtashar Ihya’ Ulumiddin serta di dalam Bidayatul Hidayah berkata:

“Abdullah bin Al-Mubarak meriwayatkan Hadis dengan isnadnya daripada seorang lelaki yang berkata kepada Mu’az bin Jabal r.a.* Ceritakanlah kepadaku sepotong Hadis yang engkau telah dengari daripada Rasulullah s.a.w.. Lalu Mu’az pun menangis sehingga aku menyangka ia tidak akan berhenti menangis. Kemudian ia pun diam.

“Kemudian Mu’az bin Jabal berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku, “Wahai Mu’az!” Aku menjawab, “Labbaika bi abi wa ummi anta”. Baginda Rasulullah s.a.w. pun bersabda, “Sesungguhnya aku mahu memberitahumu suatu hadis yang mana jika engkau memeliharanya nescaya ia memberi manfaat kepadamu dan jika engkau sia-siakannya dan tidak memeliharanya nescaya terputuslah hujjahmu di sisi Allah Ta’ala pada hari Kiamat.

“Wahai Mu’az, sesungguhnya Allah Ta’ala telah menjadikan tujuh malaikat sebelum menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Kemudian Dia menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan menjadikan untuk setiap satu daripada tujuh petala langit, Malaikat penunggu pintu langit itu. Sesungguhnya Alla Ta’ala telah mengagungkan dengan kebesaran.

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah Ta’ala naik daripada pagi hingga menjelang petang, ia mempunyai cahaya seperti nur matahari hingga sampai ke langit yang pertama dengan membawa amalan itu yang telah disucikan dan diperbanyakkan. Malaikat yang menjaga pintu langit yang pertama berkata kepada malaikat yang menjaga amalan itu: “Pukulkan amalan itu ke muka tuannya. Aku malaikat yang menjaga amalan mengumpat manusia. Tuhanku menyuruhku jangan membiarkan sesiapa yang mengumpat orang melintasiku untuk pergi kepada selainku.”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu membawa satu daripada amalan salih seorang hamba yang disucikan oleh malaikat dan diperbanyakkannya hingga sampai ke pintu langit yang kedua, lalu malaikat yang menjaga pintu langit yang kedua itu pun berkata kepada malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu: “Berhenti, dan pukulkan amalan itu ke muka tuannya. Sesungguhnya dengan amalan itu ia bertujuan mendapatkan kemegahan dunia. Tuhanku menyuruhku jangan membiarkan amalannya melintasi di hadapanku untuk pergi kepada selainku. Sesungguhnya ia seorang yang bermegah-megah kepada manusia-manusia di majlis-majlis mereka.”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu naik dengan amalan yang gilang-gemilang cahayanya hasil daripada mengeluarkan sedekah, berpuasa dan mengerjakan shalat yang telah mengagumkan malaikat penjaga amalan itu, mereka naik dengan amalan itu ke langit yang ketiga dan malaikat yang menjaga pintu langit ketiga itu pun berkata, “Berhenti, dan pukulkan amalan itu ke muka tuannya. Akulah malaikat takabur. Tuhanku telah menyuruhku agar jangan membiarkan amalannya melintasiku untuk pergi kepada selainku. Sesungguhnya ia telah bertakabur kepada manusia di majlis-majlis mereka.”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu naik membawa amalan hamba Allah itu, dan amalan itu berseri-seri seperti bintang-bintang besar di langit diiringi gema biji tasbih, shalat, haji dan umrah sehingga ke langit keempat. Lalu malaikat yang menjaga pintu langit keempat itu pun berkata, “Berhenti, dan pukulkan amalan itu ke muka tuannya, ke perutnya dan belakang badannya. Akulah malaikat ‘ujub. Tuhanku telah menyuruhku agar jangan membiarkan amalannya melintasiku untuk pergi kepada selainku. Apabila ia telah beramal terdapat ‘ujub di dalam amalannya itu”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu naik lagi dengan membawa amalan itu hingga tiba ke langit yang kelima, seolah-olah mengarak mempelai menuju ke suaminya, lalu malaikat yang menjaga pintu langit kelima itu pun berkata kepada malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu, “Berhenti, dan pukulkan amalan itu ke muka tuannya dan pikulkan ke atas bahunya. Akulah malaikat hasad dengki. Sesungguhnya orang ini telah menghasad dengki manusia yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Setiap orang yang mengambil kelebihan daripada ibadat dihasad dan didengkinya, serta dituduh dengan perkara-perkara yang tidak baik. Tuhanku telah menyuruhku agar jangan membiarkan amalannya melintasiku untuk pergi kepada selainku.”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu naik dengan amalan seorang hamba Allah, yang terdiri daripada shalat, zakat, haji, umrah dan puasa, naik menuju ke langit yang keenam. Lalu malaikat yang menjaga pintu langit keenam itu pun berkata, “Berhenti, dan pukulkan amalan itu ke muka tuannya. Sesungguhnya ia sama sekali tidak mengasihani manusia yang ditimpa bala atau mudharat, bahkan lebih suka melihat demikian. Akulah malaikat yang kasihkan manusia. Tuhanku telah menyuruhku agar jangan membiarkan amalannya melintasiku untuk pergi kepada selainku.”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu naik dengan amalan itu yang terdiri daripada puasa, shalat, nafkah, haji, jihad fi-sabilillah dan wara’ naik ke langit yang ketujuh dengan suara yang gemuruh dan bercahaya-cahaya seperti cahaya matahari, diiringi tiga ribu malaikat. Lalu malaikat yang menjaga pintu langit ketujuh itu pun berkata, “Berhenti, dan pukulkan amalan itu ke muka dan seluruh anggota badan tuannya, dan kuncikan hatinya dengan amalannya itu. Sesungguhnya aku disuruh menabiri dari Tuhanku setiap amalan yang tidak bertujuan mendapatkan keredhaan Tuhanku. Sesungguhnya dengan amalannya itu orang tersebut bertujuan selain dari Allah Ta’ala. Sesungguhnya ia mahu dipandang tinggi di kalangan para fuqaha, disebut-sebut di kalangan para ulama dan menjadi terkenal di negeri-negeri. Tuhanku telah menyuruhku supaya jangan membiarkan amalannya melintasiku untuk pergi kepada selainku. Setiap amalan yang tidak ikhlas semata-mata kerana Allah adalah riya’ dan Allah tidak menerima amalan orang yang riya’.”

“Malaikat yang menjaga amalan hamba Allah itu naik dengan amalan yang terdiri daripada shalat, zakat, haji, umrah akhlak yang baik, berdiam diri dan zikrullah, naik lagi dengan diiringi para malaikat tujuh petala langit hingga menembusi hijab seluruhnya menuju kepada Allah ‘azzawajalla, dan berdiri di hadapan hadhratullah Ta’ala dengan membawa amalan itu dan mereka menjadi saksi terhadap amalan salih hamba Allah itu yang melakukannya ikhlas kerana Allah Ta’ala semata-mata. Allah Tabaraka wata’ala berfirman kepada mereka, “Kamu semua menjaga amalan hambaKu itu, sementara Aku mengawasi apa yang tersirat di dalam hatinya. Ia tidak bertujuan keranaKu dengan amalannya itu, tetapi bertujuan kerana selainKu. Oleh itu laknatKu menimpanya.” Para malaikat pun berkata, “LaknatMu dan laknat kami menimpanya.” Ketika itu juga tujuh petala langit dan segala isi kandungannya turut melaknatinya.”

“Mu’az bin Jabal r.a. berkata, “Aku pun berkata, “Wahai Rasulullah, engkau adalah Rasulullah, dan aku ini Mu’az, bagaimanakah aku boleh menyelamatkan diri daripada kejahatan dan mensucikan diri daripadanya?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Contohilah aku, jika di dalam amalanmu terdapat kekurangan, wahai Mu’az, maka peliharalah lidahmu daripada mengumpat saudara-saudaramu dari kalangan orang-orang yang memikul Al-Quran iaitu orang-orang yang mengamalkan hukum-hukum Al-Quran, dan pikullah dosa-dosamu sendiri dan janganlah dibebankan ke atas mereka, sucikanlah dirimu dengan celaan mereka ke atasmu, jangan meninggikan dirimu melebihi mereka, jangan campurkan amalan dunia ke dalam amalan akhirat, dan janganlah takabur dalam majlismu supaya orang ramai takut disebabkan perangaimu yang jahat itu, janganlah berbisik-bisik dengan seseorang ketika ada seseorang yang lain bersama-samamu, janganlah mengagung-agungkan dirimu kepada orang ramai yang menyebabkan terputus dirimu dari kebaikan dunia dan akhirat, dan jangan memecah-belahkan orang ramai dengan lidahmu nescaya engkau akan dicarik-carik oleh anjing-anjing neraka di dalam api neraka pada hari Kiamat kelak.””


[Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net